KUCHING, 23 Feb: Penglibatan wanita dalam politik di Sarawak kini diperkasa melalui pindaan kepada perlembagaan Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
Ketua Pergerakan Wanita PBB, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata melalui pindaan itu, perwakilan wanita dalam Majlis Tertinggi haruslah tidak kurang daripada lima ahli.
“Ini merupakan satu kejayaan dari aspek bilangan perwakilan wanita dalam MT Induk PBB. Jika dahulu, Wanita PBB hanya mempunyai seorang perwakilan dalam MT Induk iaitu Ketua Wanita dilantik secara automatik menjadi Naib Yang Dipertua.
“Dengan pindaan itu, lima jawatan tambahan dalam majlis tertinggi utama diperuntukkan untuk anggota Wanita. Justeru, kita akan mempunyai enam perwakilan wanita secara keseluruhan,” katanya semasa sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Wanita PBB di ibu pejabat PBB, hari ini.
Jelasnya, pindaan ini merupakan perkembangan baik kerana Wanita PBB hanya mempunyai dua perwakilan dalam MT Induk PBB, iaitu beliau sendiri sebagai Naib Yang Dipertua dan Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali sebagai Penolong Setiausaha Agung.
Sebelum ini, Fatimah mengemukakan cadangan pindaan perlembagaan tersebut semasa Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda dan Wanita PBB pada 17 Jun 2022 dan telah diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) untuk berkuatkuasa mulai 7 Jun 2023. – TVS