Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Abdullah Saidol bersama sekretariat Hawana 2024 dan wakil media pada mesyuarat penganjuran Hawana di Kuching pada Khamis. Foto Saibi Gi (TVS)

Hawana di Kuching dedah wartawan luar tentang pembangunan Sarawak

KUCHING, 23 Feb: Sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) yang dijadual diadakan di bandar raya ini pada 25 hingga 27 Mei ini akan memberi pendedahan kepada wartawan dari luar Sarawak tentang pembangunan rancak di Sarawak.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol berkata dengan melihat dan mendengar sendiri, wartawan berkenaan dapat menulis lebih baik tentang perkembangan negeri ini.

Datuk Abdullah Saidol menyaksikan penyerahan plak penghargaan daripada Nur-Ul Afilda Kamaludin kepada Datu Hii Chang Kee. Foto Saibi Gi (TVS).

“Hawana ini secara tidak langsung menyediakan publisiti meluas tentang industri baharu dan pelancongan yang menawarkan budaya Sarawak dari pelbagai etnik dan makanan tradisional,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa Hawana antara Pertubuhan Berita Nasional (Bernama), Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dan Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) di sini, semalam.

Hadir sama pada mesyuarat itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datu Hii Chang Kee, Pengarah UKAS Samuel Simon, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-Ul Afilda Kamaludin dan Timbalan Ketua Pengarangnya Arul Rajoo Durar Raj.

Menerusi mesyuarat ini antara lain membincangkan tarikh dan aktiviti yang akan mengisi Hawana dan ia dijangka tidak kurang 500 wartawan termasuk orang kenamaan dan veteran media dari Semenanjung dan negara luar akan hadir.

Turut dipersetujui dalam mesyuarat ini ialah jemputan ke acara kemuncak sebagai tetamu kehormat, Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurut Abdullah, antara aktiviti utama Hawana ialah konvensyen mini tentang kewartawanan anjuran UKAS dengan membabitkan topik utama rangka undang-undan yang mengawal selia dan penguatkuasaan aktiviti media di semua platform terutama di media sosial.

“Pengisian lain yang akan menjadi tumpuan awam ialah pameran yang akan memaparkan sejarah awal perjalanan dan perkembangan aktiviti kewartawanan di Sarawak dan negara,” katanya.

Konsep pameran ini adalah untuk memberi penghargaan kepada semua wartawan veteran kerana mereka juga boleh dianggap ‘bekas perajurit’ yang terbabit dalam proses pembangunan minda dan memberi kesedaran awam.

Dalam lipatan sejarah sebelum merdeka, peranan wartawan juga boleh diiktiraf sebagai wira pejuang kebebasan dan berperanan dalam pembangunan penyebaran maklumat, berita dan peristiwa untuk pengerahuan masyarakat awam, jelasnya.

Pelbagai program akan dimuktamadkan sepanjang tiga hari acara Hawana ini diadakan termasuk lawatan untuk tetamu luar ke tempat menarik di sekitar Kuching seperti Muzium Budaya Borneo, Kampung Budaya Sarawak dan Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Kuching telah dipilih sebagai lokasi penganjuran Hawana 2024. Pertama kali ia diadakan pada 2018 dan pada tahun lepas diadakan di Perak.

“Kos penganjuran program Hawana ini akan dibiayai bersama antara kerajaan Persekutuan dan Sarawak,” katanya.

Sementara itu, Nur-Ul Afilda berkata HAWANA 2024 ini juga bakal memberi anugerah kepada veteran wartawan yang telah banyak memberikan sumbangan di samping menyampaikan bantuan kepada bekas wartawan di bawah Tabung Kasih@HAWANA.

“Kita juga merancang pocket program seperti treasure hunt melibatkan wartawan-wartawan yang terlibat dalam sambutan ini,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan