ASAJAYA, 23 Feb: Sarawak mahu berbincang dengan kerajaan Persekutuan berkenaan penambahan jumlah mesin mamogram bagi rawatan kanser payudara.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, ketika ini Sarawak hanya memiliki empat mesin itu untuk kegunaan pesakit barah payudara.
Justeru, pihaknya mahu berbincang dengan kerajaan Persekutuan serta kerjasama pihak PETRONAS melalui tanggunjawab sosial korporat (CSR).
“Bolehkah anda bayangkan seluruh Sarawak di hospital kerajaan hanya ada empat mesin mamogram dan satu rosak.
“Kita mahu berunding dengan kerajaan Persekutuan dan kita menggesa syarikat besar seperti PETRONAS di bawah tanggungjawab sosial,” katanya semasa Majlis Penyerahan Keperluan Perubatan Asas di Klinik Kesihatan Sadong Jaya di sini, hari ini.
Terdahulu, SABATI telah menyumbangkan mesin mamogram bernilai RM100,000 yang ditempatkan di Unit Kanser Payudara di Hospital Umum Sarawak (HUS).
Mesin mamogram buatan Amerika Syarikat itu merupakan keluaran terkini dan penting bagi mendapatkan maklumat tepat pesakit seterusnya mempercepatkan proses diagnosis. – TVS