Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dr Lai juga menasihatkan orang ramai untuk menjaga kebersihan di sekeliling mereka, menghapuskan sumber air bertakung, menggunakan ubat nyamuk mengandungi diethyltoluamide (DEET) dan memasang kelambu atau skrin nyamuk di rumah untuk mengelak daripada jangkitan denggi. Foto hiasan Envato.

Denggi: Simptom serius boleh bawa maut

ByBernama

KUALA LUMPUR, 23 Feb: Pengesanan awal denggi, jangkitan virus berpunca daripada virus denggi (DENV), disebarkan kepada manusia menerusi gigitan nyamuk dijangkiti, adalah penting untuk mengelakkan daripada komplikasi yang boleh membawa maut.

Pakar Perubatan Kecemasan di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr Aaron Lai Kuo Huo berkata pesakit denggi yang mengalami simptom teruk selain sakit kepala, sakit badan biasa, ruam dan sakit di belakang mata, harus mendapatkan bantuan perubatan dengan kadar segera.

“Orang ramai harus terus memantau tanda-tanda amaran seperti sakit perut, muntah berulang-ulang dan/atau cirit-birit berterusan melebihi tiga kali sehari, mengantuk, sukar bernafas, gusi atau hidung berdarah dan najis berwarna hitam.

Adalah penting untuk pesakit mendapatkan rawatan segera di jabatan kecemasan atau klinik doktor persendirian bergantung kepada keseriusan dan jumlah pesakit yang datang mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata demam denggi muncul dengan sakit sendi dan otot yang teruk yang boleh melarat kepada komplikasi yang membimbangkan seperti demam denggi berdarah atau sindrom kejutan denggi yang boleh mengakibatkan pendarahan dalaman yang teruk , kiraan platelet yang rendah, kebocoran plasma dan kerosakan organ.

Dr Lai berkata diagnosis biasa untuk demam denggi melibatkan gabungan penilaian klinikal dan ujian makmal dengan simptom yang dikaitkan dengan demam denggi akan dinilai sementara terdapat tiga fasa jangkitan denggi, fasa demam, fasa kritikal dan fasa pemulihan.

Jangkitan dikatakan bermula daripada fasa demam dengan pesakit mengalami demam antara tiga ke lima hari bersama penurunan mendadak kiraan sel darah putih, juga simptom seperti demam, sakit kepala, sakit sendi dan otot.

Fasa kritikal pesakit denggi ialah antara 48 hingga 72 jam dengan pesakit mengalami gangguan peredaran darah berbeza-beza dan dalam beberapa kes pesakit menunjukkan komplikasi serius seperti pendarahan dalaman, pembentukan lebihan cecair dalam paru-paru atau perut, tekanan darah rendah, kegagalan buah pinggang dan hati serta koma yang boleh membawa maut,

Beliau berkata pesakit akan melalui fasa pemulihan selepas fasa kritikal apabila gejala denggi beransur hilang dan kiraan darah putih kembali ke paras normal, sambil menambah adalah penting untuk pesakit denggi menerima rawatan yang betul dan tepat untuk mengelakkan komplikasi selanjutnya.

Dr Lai juga menasihatkan orang ramai untuk menjaga kebersihan di sekeliling mereka, menghapuskan sumber air bertakung, menggunakan ubat nyamuk mengandungi diethyltoluamide (DEET) dan memasang kelambu atau skrin nyamuk di rumah untuk mengelak daripada jangkitan denggi.

“Faktor iklim seperti suhu dan taburan hujan mempengaruhi jumlah kes denggi di negara ini.

Suhu yang lebih panas dan peningkatan taburan hujan merupakan keadaan yang menggalakkan pembiakan nyamuk dan pereplikaan virus yang membawa kepada penyebaran yang lebih tinggi,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan