BUTTERWORTH, 23 Feb: Seorang anggota bomba dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Perai semasa melakukan penyelenggaraan bot di Jeti Pangkalan Marin Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) di Mat Mandin di sini semalam.
Mangsa dari Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) itu dikenal pasti sebagai Mohd Izwan Ilias, 42.
Penolong Pengarah Operasi JBPM Pulau Pinang, Khairy Sulaiman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada pukul 10.20 malam.
“Mangsa dikatakan membuat penyelenggaraan bagi memastikan bot berkenaan sentiasa dalam keadaan siap siaga.
“Semasa kejadian, penyelia mendapati mangsa tiada di atas bot dan bot itu juga ditemui dalam keadaan hanyut,” katanya kepada pemberita hari ini.
Sementara itu, usaha mencari dan menyelamat mangsa diteruskan pagi ini. – TVS