KUCHING, 22 Feb: Warga Sarawak daripada pelbagai latar belakang menzahirkan penghargaan serta ucapan terima kasih buat bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Abdul Taib Mahmud yang meninggal dunia pada usia 87 tahun awal pagi semalam.
Rata-rata warga Sarawak menzahirkan takziah serta rasa sedih mereka atas pemergian Tun Taib yang turut berkhidmat sebagai Ketua Menteri Sarawak selama 33 tahun.
Rata-rata mereka yang ditemui berkata jasa yang dicurahkan Bapa Pemodenan Sarawak itu untuk pembangunan Bumi Kenyalang tidak mampu dibalas.
Bekas ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Leen Dollah yang menyifatkan Allahyarham sebagai seorang pemimpin yang berjiwa rakyat.
“Allahyarham memang berjiwa rakyat dan sentiasa berusaha membantu masyarakat tanpa mengira latar belakang mereka,” katanya ketika ditemui TVS.
Tambahnya, Tun Taib sentiasa memberikan contoh terbaik dan sentiasa bersikap terbuka untuk menerima idea semua pihak.
Leen yang merupakan antara kenalan awal Tun Taib berkata, beliau juga tidak pernah mengabaikan tuntutan agama dan sentiasa hadir ke majlis-majlis keagamaan meskipun mempunyai jadual yang padat.
Turut berkongsi cerita, Bekas Ketua Kampung Tupong Ulu, Mohamad Subit berkata Allahyarham sentiasa jujur dan komited dalam melaksanakan tugasnya.
Mengimbau usaha yang dilaksanakan Tun Taib sepanjang pemerintahannya, beliau amat menghargai inisiatif Tun Taib untuk membantu mengangkat martabat masyarakat Melayu dalam barisan kepimpinan tertinggi.
“Beliau banyak berkhidmat kepada rakyat negeri kita. Perkhidmatannya sangat dihargai oleh rakyat Sarawak,” katanya.
Sementara itu, menerusi media sosial, penyanyi serta selebriti anak Sarawak seperti Dayang Nurfaizah, Hafiz Suip dan Bob Yusof turut menzahirkan ucapan takziah. – TVS