KUCHING, 22 Feb: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyifatkan Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sebagai tunjang keharmonian kaum di Sarawak.
Menurutnya, bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak dan Ketua Menteri Sarawak itu telah menyemai semangat keamanan dan keharmonian dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama di Sarawak.
Warisannya itu dapat dikecapi sehingga kini.
“Hasil kerja keras dan susah payah Allahyarham untuk memastikan tiada kaum akan tercicir dalam semua dasar semasa menjadi Ketua Menteri Sarawak selama lebih tiga dekad terus dipupuk sehingga hari ini,” katanya menerusi kenyataan.
Malah, ketika menjadi Ketua Menteri, Allahyarham sangat menjaga hak imigresen Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.
“Allahyarham menjauhkan semua unsur negatif dari Sarawak dan mewujudkan Bumi Kenyalang yang meraikan kebebasan beragama dan kepelbagaian kaum,” katanya.
Tun Taib, 87, meninggal dunia di sebuah hospital di Kuala Lumpur pada 4.40 pagi semalam dan pengurusan jenazah Allahyarham disempurnakan di Masjid Negara, Kuala Lumpur.
Pada sebelah petang, jenazah Allahyarham diterbangkan ke Kuching menggunakan pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Semalam, jenazah dibawa ke rumah Allahyarham di Demak Jaya, Jalan Bako dan pagi ini dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan orang ramai memberi penghormatan terakhir bermula dari 8 pagi hingga 11.30 pagi.
Selepas itu, jenazah akan dibawa ke Masjid Demak berdekatan kediaman Allahyarham untuk disolatkan sebelum dikebumikan dengan istiadat pengebumian negeri di perkuburan keluarga di Demak Jaya.