Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Rakan sekelas mantan Yang Di-pertua Negeri Sarawak dari Sekolah Menengah St Joseph di Kuching, Anuar Abdul Razak. Foto Izzah Kamilah Yunus (TVS)

Tun Abdul Taib mahu tuntut kemerdekaan Sarawak sejak di bangku sekolah

ByAmirah Shawel

KUCHING, 22 Feb: Semangat patriotik mahu menuntut kemerdekaan Sarawak tersemai dalam diri Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sejak di bangku sekolah.

Demikian kongsi Anuar Abdul Razak yang merupakan sahabat mantan Yang di-Pertua Negeri Sarawak itu sejak 1949.

Anuar, 87, berkata, mereka belajar dalam kelas yang sama di Sekolah Menengah St Joseph lebih 75 tahun lepas.

Tun Abdul Taib Mahmud meninggal dunia

“Tun Abdul Taib menunjukkan ciri sebagai pemimpin pada usia yang sangat muda kerana Allahyarham bercita – cita untuk memajukan Sarawak.

“Setelah kembali ke tanah air selepas tamat pengajian di University of The Philippines, saya bersetuju untuk bersama dengan Tun Abdul Taib memperjuangkan kemerdekaan.

“Kami menyertai parti politik yang diasaskan oleh bapa saudaranya, Tun Abdul Rahman Ya’kub iaitu Barisan Rakyat Jati Sarawak (BARJASA),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada TVS ketika ditemui pada majlis Istiadat Pengebumian Negeri di Masjid Demak di sini hari ini.

Tun Abdul Taib yang meninggal dunia pagi semalam di Kuala Lumpur selamat disemadikan di tanah perkuburan keluarga berhampiran masjid itu di Jalan Bako, di sini hari ini.

Berkongsi lanjut berkenaan momen beliau bersama Allahyarham, Annuar berkata menuju kemerdekaan, mereka menubuhkan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dengan Tan Sri Datuk Amar Leonard Linggi.

Sementara itu ditanya mengenai keperibadian Allahyarham sebagai pemimpin ulung di Sarawak, Anuar berkata, Tun Abdul Taib disenangi oleh masyarakat pelbagai latar belakang.

“Allahyarham sentiasa cuba untuk menyantuni rakyat Sarawak tanpa mengira agama dan bangsa.

“Kerana sumbangan beliau bersama rakan seperjuangan, rakyat Sarawak hidup dalam suasana yang harmoni. Tun Abdul Taib bijak mengambil hati semua masyarakat, tidak kira Melayu, Melanau atau Dayak,” katanya.

Mengenai perkara yang akan dirinduinya selepas ini, Anuar mengakui beliau hilang satu- satunya rakan sekolah yang masih hidup.

“Hanya kami berdua sahaja yang tinggal, kini beliau juga sudah pergi,” katanya.

Anuar menambah, selepas ini tiada lagi pelawaan untuk menjamu selera di kediaman Tun Abdul Taib.

“Dua kali dalam sebulan, Allahyarham akan mengajak saya ke rumah untuk makan. Baru-baru ini Tun mempelawa saya, tidak sangka beberapa hari kemudian beliau meninggalkan saya,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan