KUCHING, 22 Feb: Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud merupakan antara pemimpin yang membuka pintu kepada penglibatan aktif golongan wanita dalam bidang politik.
Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, beliau merupakan antara pemimpin wanita yang diberi peluang oleh Allahyarham untuk menyumbang bakti kepada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
“Segalanya bermula apabila saya dipilih untuk menjadi calon wanita pertama bertanding di bawah tiket PBB.
“(Saya masih ingat) Tun Abdul Taib kata penglibatan golongan wanita dalam dunia politik penting untuk membentuk Sarawak menjadi apa yang kita lihat sekarang,” katanya kepada pemberita.
Tun Taib, 87, meninggal dunia di sebuah hospital di Kuala Lumpur pada 4.40 pagi semalam.
Kerajaan Sarawak mengisytiharkan wilayah ini berkabung selama dua hari bermula semalam.
Sementara itu, Rohani berkata, ekoran sikap terbuka Allahyarham kepada golongan wanita untuk terlibat dalam politik, kesan positif dapat dilihat hingga hari ini.
“Oleh itu, sekarang PBB tidak mempunyai masalah berkenaan penglibatan calon wanita kerana Allahyarham telah membuka pintu kepada kita (wanita),” kata beliau. -TVS