KUCHING, 22 Feb: Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah berkenan menyertai solat jenazah mantan Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Masjid Demak di sini, hari ini.
Turut berkenan menyertai solat jenazah ialah anakanda baginda Pengiran Muda Abdul Mateen Bolkiah dan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Solat jenazah yang dipimpin Imam Besar Negeri Sarawak Datuk Mustapha Kamal Ahmad Fauzi itu juga disertai Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg selepas menunaikan solat Zohor.
Sultan Hassanal kemudiannya berangkat menyertai istiadat pengebumian Tun Abdul Taib di perkuburan keluarga berdekatan masjid tersebut.
Terdahulu, van membawa jenazah Allahyarham tiba di Masjid Demak pada kira-kira 11.56 pagi, selepas selesai Istiadat Penghormatan Negeri di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
Tun Taib, 87, meninggal dunia di sebuah hospital di Kuala Lumpur pada 4.40 pagi semalam.
Kerajaan Sarawak mengisytiharkan wilayah ini berkabung selama dua hari bermula semalam.-TVS