KUCHING, 22 Feb: Nasihat dan tunjuk ajar Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sentiasa menjadi garis panduan dalam menggalas tanggungjawab dalam pentadbiran.
Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang, Dato Sri Sharifah Mordiah Tuanku Fauzi yang berjuang membangunkan Sarawak bersama Tun Taib sejak tahun 1979, ketika Allahyarham menjadi Ketua Menteri.
Menurutnya, Tun Taib yang juga mantan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, merupakan seorang pemimpin berwibawa yang mementingkan agama, ekonomi, pembangunan dan kebajikan rakyat Sarawak.
“Apabila saya menerima panggilan mengenai pemergian beliau, saya terkejut dan sedih sekali kerana saya adalah antara insan yang dibimbing beliau dalam arena politik dalam jangka yang sangat lama.
“Saya pernah dilantik sebagai Menteri Muda (Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan) pada tahun 1987 dan sepanjang bekerja bersama beliau, saya berasa gembira kerana beliau seorang yang berterus terang dan mendidik,” katanya.
Beliau mengakui Tun Taib merupakan seorang pemimpin yang sukar untuk dicari kerana ciri-ciri beliau yang amat disenangi banyak pihak.
Selain Menteri Muda, Mordiah juga pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik Ketua Menteri selama 10 tahun.
Nasihat yang masih segar dalam ingatan beliau daripada Tun Taib adalah, “sebagai wakil rakyat, anda harus mencari jalan bagaimana hendak membantu rakyat dalam semua peringkat”.
“Mudah-mudahan dengan sumbangan Tun, Allah akan memberi rahmat kepadanya.” – TVS