KUCHING, 22 Feb: Kepimpinan mantan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud wajar dijadikan sebagai inspirasi untuk meneraju negara.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, Tun Abdul Taib juga seorang tokoh yang banyak memberi khidmat bukan sahaja kepada Sarawak tetapi juga kepada Malaysia.
“Saya fikir seluruh negara turut berduka.
“Jadi kita harap sumbangan Allahyarham terus segar dalam ingatan dan menjadi inspirasi kepada pimpinan-pimpinan negara untuk melakukan yang terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Istiadat Penghormatan Negeri di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini hari ini.
Sementara itu, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang menzahirkan rasa dukacita di atas pemergian Tun Taib.
Katanya, Allahyarham Tun Abdul Taib merupakan seorang ketua yang sangat baik selama pentadbirannya.
“Ya, memang saya pun lama sudah jadi wakil rakyat sejak tahun 2000 dan sekali sekala berbual dengan beliau yang merupakan Ketua Menteri Sarawak, sekali sekala kita berhubung untuk kepentingan Sarawak,” ujarnya.
Istiadat Penghormatan Negeri diadakan di Atrium DUN Sarawak bermula pada 8 pagi hingga 11.30 pagi.
Sultan Brunei, Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah bersama anakanda baginda, Pengiran Muda Abdul Mateen Bolkiah, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tengku Jaafar dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg antara pemimpin yang hadir memberi penghormatan terakhir.
Ribuan rakyat Malaysia khususnya anak Bumi Kenyalang turut membanjiri Atrium DUN Sarawak bagi menghadiri Istiadat Penghormatan Negeri.-TVS