Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Jenazah Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dibawa keluar dari Dewan Undangan Negeri Sarawak selepas Istiadat Penghormatan Negeri untuk dibawa ke Masjid Demak untuk solat jenazah dan istiadat pengebumian negeri di perkuburan keluarga di Demak Jaya, hari ini. Foto Bernama.

Hujan tidak halang ribuan rakyat beri penghormatan terakhir kepada Tun Taib

KUCHING, 22 Feb: Cuaca hujan di bandar raya ini tidak menghalang ribuan rakyat Malaysia khususnya anak Bumi Kenyalang membanjiri Atrium Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bagi menghadiri Istiadat Penghormatan Negeri mantan Yang di-Pertua Negeri Sarawak Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Menggelarkan Allahyarham sebagai tokoh legenda negeri ini, seorang guru Zaahara Mahlidi, 55, yang berasal dari Bintulu tidak melepaskan peluang memberi penghormatan terakhir kepada bekas Ketua Menteri Sarawak bersama suami.

“Kebetulan saya datang ke Kuching untuk melawat keluarga dan pagi semalam selepas mendapat khabar Tun (Taib) meninggal, terus saya bertekad untuk datang (ke Atrium Dewan Undangan Negeri Sarawak) meskipun tidak pasti dibenarkan masuk atau tidak.

“Sejak kecil lagi beliau (Tun Taib) sememangnya menjadi idola saya kerana kebijaksanaannya memerintah Sarawak… ini kali terakhir saya dapat melihat arwah,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sambil menahan sebak, Zaahara berkata beliau berpeluang melihat bapa pemodenan Sarawak itu secara dekat menerusi satu majlis yang dihadiri pemimpin itu ketika bergelar Ketua Menteri.

Sementara itu, Presiden Persatuan Melanau Kuching Faridah Osman berkata pemergian Tun Taib adalah kehilangan besar buat komuniti berkenaan.

Menurutnya, Allahyarham menjadi pemacu dalam menyatupadukan rakyat negeri ini yang kaya dengan pelbagai kaum dan budaya.

“Beliau banyak berjasa kepada Sarawak dan daripada penglibatan saya dalam persatuan, setiap kali kami menganjurkan acara negeri, beliau akan memberitahu kami untuk mengutamakan hospitaliti Sarawak. Saya sentiasa ingat pesanan itu,” katanya.

Terdahulu, jenazah Allahyarham tiba kira-kira di Atrium itu pada 7.50 pagi dari kediamannya di Demak Jaya, Jalan Bako.

Sesi bagi istiadat berkenaan dibuka kepada orang ramai mulai 8 pagi hingga 11.30 pagi, manakala bagi pemimpin peringkat negeri dan Persekutuan serta ketua-ketua jabatan, ia bermula 10 pagi hingga 11.30 pagi.

Jenazah Allahyarham kemudian disolatkan sekali lagi pada 11.30 pagi di Masjid Demak, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Keluarga Tun Taib yang terletak di dalam kawasan masjid berkenaan.

Tun Taib, 87, yang juga bekas Ketua Menteri Sarawak meninggal dunia di sebuah hospital di Kuala Lumpur pada 4.40 pagi semalam.

Dilahirkan pada 21 Mei 1936, Abdul Taib merupakan perancang utama yang mencorakkan pembangunan Sarawak apabila menerajui kepimpinan negeri sebagai Ketua Menteri Sarawak selama 33 tahun, sekali gus menjadikan beliau Ketua Menteri yang paling lama berkhidmat di Malaysia. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan