KUCHING, 21 Feb: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata nasihat Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud agar tidak mengenepikan pembangunan petani, nelayan dan peladang masih segar dalam ingatannya.
Menurutnya, nasihat itu dikongsikan Allahyarham ketika masih menjawat jawatan Ketua Menteri dan beliau menjadi Menteri Muda Pertanian dan salah satu inisiatif bagi mencapai matlamat pembangunan golongan itu, kerajaan menganjurkan Hari Peladang.
“Kita mulakan (Hari Peladang) di Samarahan dan ini adalah satu ajaran yang begitu baik daripada Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud,” katanya semasa sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), hari ini.
Abang Johari dan menteri-menteri kabinet Sarawak berada di LTAK bagi menyambut ketibaan jenazah Allahyarham Tun Taib yang diterbangkan dari Kuala Lumpur. Tun Taib meninggal dunia pada awal pagi ini di sebuah hospital swasta di ibu negara.
Premier berkata lagi, Allahyarham Tun Taib menasihati beliau agar sentiasa merendah diri ketika berkhidmat dan berusaha meningkatkan taraf hidup rakyat di negeri.
Menurutnya, Allahyarham turut memberi tunjuk ajar kepada anggota kabinet yang lain termasuklah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
“Inilah didikan paling dikenangi ketika kami masih merupakan menteri muda sewaktu itu,” ujarnya.