KUCHING, 21 Feb: Pemergian mantan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang telah membawa banyak pembangunan dan pembaharuan dalam sistem pendidikan negeri merupakan satu kehilangan besar kepada Sarawak.
Penganalisis Sosiopolitik Universiti Malaya (UM), Profesor Awang Azman Awang Pawi berkata, sepanjang 33 tahun berkhidmat sebagai Ketua Menteri Sarawak, Tun Abdul Taib telah meninggalkan satu legasi sistem pendidikan moden yang dinikmati sehingga kini oleh anak Sarawak.
“Jika kita lihat beliau membawa pendidikan universiti luar negara di Sarawak seperti Universiti Swinburne dan Universiti Curtin kerana beliau yakin bahawa pendidikan merupakan mobiliti sosial untuk membasmi rakyat daripada kemiskinan selain mengubah nasib individu, keluarga, masyarakat serta negeri dan negara,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.
Selain itu, Awang Azman turut mengiktiraf peranan dan sumbangan Tun Abdul Taib dalam mengurangkan kadar kemiskinan di Sarawak menyaksikan berlaku penurunan drastik dengan kurang 10 peratus yang dicatatkan pada masa ini.
Mengulas lanjut, Awang Azman turut menyatakan perkhidmatan Tun Abdul Taib sebagai Ahli Parlimen Kota Samarahan sejak 1970 hingga 2008 telah menyaksikan limpahan pembangunan yang telah mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan kepada anak tempatan di kawasan itu.
“Kita dapat lihat Universiti Malaysia Sarawak, (UNIMAS), Institut Pengajian Tun Razak, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan agensi kerajaan di Sarawak ditubuhkan di situ (Kota Samarahan) bagi memastikan modal insan dapat dibina dengan teguh.
“Ia sekali gus memberikan impak kepada penduduk sekitar dengan adanya (pembinaan) universiti di Kota Samarahan,” jelas Awang Azman.
Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud meninggal dunia di Kuala Lumpur pagi tadi.
Setiausaha Sulit kepada Dato Hanifah Hajar Taib, Nurr Shaffique Abdul Karim menerusi Facebooknya berkata, Allahyarham meninggal dunia kira-kira 4.40 pagi. – TVS