KUCHING, 21 Feb: Kestabilan politik dan keharmonian antara rakyat yang dikecapi Sarawak pada hari ini merupakan hasil sumbangan dan jasa mantan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.
Menurut bekas Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, kepimpinan Tun Taib selama 33 tahun semasa menjadi Ketua Menteri Sarawak sentiasa memberi keutamaan kepada kepentingan negeri berbanding politik.
“Dia menunjukkan keikhlasan kepada rakyat, sangat berdedikasi dalam kepimpinannya dalam menyatukan orang ramai dan parti-parti politik.
“Nasihat beliau kepada kami ialah lebih baik menyatukan semua untuk bekerja bagi negeri ini daripada bertelingkah melalui politik parti,” katanya ketika ditemui sewaktu hadir menyambut ketibaan jenazah Allahyarham Tun Taib di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau mengakui sedih akan kehilangan pemimpin yang disifatkannya sangat baik dan berjaya membangunkan negeri ini.
“Semua kerja beliau telah menjadi warisan kepada pemimpin sekarang. Apabila beliau menyerahkan jawatan ketua menteri kepada Pehin Sri Adenan Satem dan kemudiannya kepada Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kita mewarisi keharmonian antara kaum, kestabilan politik dan segala kebaikan.
“Dalam kalangan rakyat, tiada pertengkaran dan Sarawak telah diakui sebagai negeri contoh,” katanya.