KUALA LUMPUR, 21 Feb: Mantan Yang di-Pertua Negeri dan Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud telah membina struktur asas pentadbiran Sarawak yang kukuh bagi menjamin negeri itu terus maju pada masa hadapan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Koporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol berkata kejayaan itu antaranya menubuhkan institusi pendidikan tinggi seperti Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan beberapa agensi kerajaan yang mampu menjana pendapatan negeri.
“Agensi kerajaan (yang diwujudkan) hasil kepimpinan Allahyarham antaranya Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) yang membangunkan tanah kerajaan untuk menambah pendapatan negeri serta Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) yang terlibat dalam industri perkayuan.
“Selain itu, saya sendiri sebagai seorang anak desa Sarawak dan bekas pelajar tajaan Yayasan Sarawak adalah bukti hasil wawasan serta keinginan Allahyarham untuk membina modal insan dan melahirkan satu generasi baharu masa depan anak Sarawak yang berilmu, mempunyai pemikiran progresif serta mentaliti kompetitif,” katanya dalam program Malaysia Petang Ini terbitan Bernama TV hari ini.
Abdullah yang juga bekas Ketua Setiuasaha Politik Allahyarham, berkata sepanjang berkhidmat di bawah kepimpinannya, Tun Taib memiliki pendirian tegas dalam mendakap falsafah politik pembangunan.
“Tun dikenali sebagai seorang yang cekal dan mengamalkan budaya politik mewakili penyatuan pelbagai kaum di Sarawak serta mencorak pemikiran setiap wakil rakyat untuk sentiasa bersungguh-sungguh, berani, rajin dan mengutamakan kemudahan serta kesejahteraan masyarakat yang diwakili.
“Perjalanan perjuangan politik Tun di awal juga tidaklah mudah kerana Sarawak adalah sebuah negeri yang sebesar Semenanjung, masyarakatnya majmuk, pelbagai etnik dan agama serta mempunyai penempatan kaum bumiputera yang besar di kawasan pedalaman,” katanya.
Menurut Abdullah, Allahyarham Tun Taib juga seorang yang tidak kedekut ilmu, sedia berkongsi pandangan dan mempunyai keupayaan menganalisis sesuatu polisi kerajaan iaitu misi dan visi secara mendalam serta berpandangan jauh.
Sementara itu, bekas Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Sarawak Dato Sri Sharifah Mordiah Tuanku Fauzi berkata Tun Taib juga seorang pemimpin tegas, amanah dan jujur serta mengambil berat mengenai pembangunan, pendidikan dan agama.
Beliau berkata Allahyarham yang berjiwa rakyat dan sentiasa menjaga pembangunan negeri merupakan anugerah Allah kepada negeri serta rakyat Sarawak dan pemergiannya adalah kehilangan besar yang sukar diganti.