KUCHING, 21 Feb: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pemergian mantan Yang di-Pertua Negeri Sarawak Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud merupakan satu kehilangan seorang negarawan yang dihormati.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar menzahirkan ucapan takziah buat keluarga Allahyarham dan rakyat Sarawak.
“Sesungguhnya kita, terutama rakyat negeri Sarawak kehilangan seorang sosok negarawan yang dihormati.
“Jasa dan bakti Allahyarham kepada negara dan negeri Sarawak akan sentiasa dikenang buat selamanya,” ujarnya.
Belasungkawa: Mengenang jasa Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluahkan rasa kesedihan kerana mempunyai banyak suka dan duka bersama Allahyarham sepanjang karier politik Allahyarham.
“Terlalu banyak kenangan saya bersama Allahyarham. Beliau merupakan seorang yang mudah didekati dan sentiasa istiqomah menyantuni masyarakat.
“Satu kehilangan besar buat rakyat Malaysia khususnya rakyat Negeri Sarawak kerana beliau memainkan peranan yang cukup penting dalam mentadbir dan memacu kejayaan Negeri Sarawak sehingga kini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau juga memanjatkan doa kepada Allah SWT untuk menerima segala amal baktinya dan menempatkan Allahyarham di dalam kalangan insan soleh serta beroleh jannahNya.
Berita pemergian Allahyarham Abdul Taib Mahmud disahkan oleh Setiausaha Sulit kepada Dato Hanifah Hajar Taib, Nurr Shaffique Abdul Karim menerusi Facebooknya berkata, Allahyarham meninggal dunia pada kira-kira 4.40 pagi di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur. – TVS