SARIKEI, 21 Feb: Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud merupakan figura sangat penting dalam pentadbiran negeri sehingga menyumbang ke arah kemakmuran dan kesejahteraan Sarawak.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, sumbangan Tun Abdul Taib dalam arena politik dan pentadbiran, membawa kesan besar kepada seluruh rakyat.
Malah katanya, strategi pembangunan berkesan yang dilaksanakan mantan Ketua Menteri dan Yang di-Pertua Negeri itu menjurus kepada perubahan Sarawak seperti yang dilihat pada hari ini.
“Bumi Kenyalang adalah sebuah negeri yang besar, penduduknya pula beraneka budaya dan kepercayaan, justeru kita boleh bayangkan betapa gigihnya perjuangan beliau sehingga Sarawak menjadi sebuah negeri yang begitu makmur,” katanya kepada media di sini, hari ini.
Mengambil contoh, Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang diilhamkan Tun Abdul Taib, sejak 16 tahun lalu, Len Talif berkata, kesannya kini boleh dilihat melalui pembangunan pesat Samalaju Bintulu.
Ujarnya, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg meneruskan kesinambungan perjuangan itu melalui pendekatan yang tersendiri termasuk memberi tumpuan terhadap pembangunan di kawasan pedalaman dan luar bandar Sarawak.
“Begitu juga pembangunan teknologi maklumat (IT) dengan memulakannya di Sama Jaya, Kuching dan usaha itu kemudiannya diteruskan Abang Johari dengan memperkenalkan pembangunan ekonomi berteraskan digital seiring dengan perkembangan semasa,” katanya.
Beliau menambah, budi dan jasa Allahyarham Tun Abdul Taib sentiasa di hati rakyat dan akan dikenang buat selama-lamanya. – TVS