KUCHING, 21 Feb: Keadilan Sosial yang dilakukan mantan Yang di-Pertua Negeri Sarawak Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud ketika pemerintahannya memastikan tiada siapa ketinggalan.
Menurut Penganalisis Sosiopolitik, Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi keluasan Sarawak yang hampir sama besar dengan keluasan negeri di Semenanjung Malaysia sudah tentu peruntukan yang besar diperlukan.
Namun katanya, Tun Taib berjaya memastikan keadilan sosial diberikan kepada rakyat Sarawak.
“Jadi apa pun, asas yang diberikan Tun taib dalam memastikan keadilan sosial kepada rakyat negeri Sarawak itu terpancar dengan ada kepada negeri Sarawak yang terus ada kesinambungannya oleh pengganti-pengganti beliau atau khususnya Pehin Sri Tan Sri Adenan Satem dan juga Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.
Tambah Awang Azman, pengganti-pengganti Tun Taib harus meneruskan pembangunan tersebut untuk memastikan lebih banyak kawasan dapat dipertingkatkan kemajuannya.
Beliau turut berpandangan bahawa ia akan dapat dicapai dengan perlaksanaan persempadanan semula dalam masa terdekat.
“Dengan adanya persempadanan semula yang akan dilakukan dalam masa terdekat ini fokus kepada pembangunan di setiap wilayah itu dapat diberi perhatian lebih baik apabila kawasan Parlimen itu dipecah dua, ada Parlimen yang begitu besar, ada kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang begitu ramai bilangannya dipecah dua, maka ini akan memfokuskan lagi pembangunan secara khusus.
“Jadi ini sesuai dengan perkembangan dari segi politik dan juga persempadanan semula,” ujarnya.
Mantan Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud meninggal dunia pada usia 87 tahun di Kuala Lumpur pagi ini.
Setiausaha Sulit kepada Dato Hanifah Hajar Taib, Nurr Shaffique Abdul Karim menerusi Facebooknya berkata, Allahyarham meninggal dunia kira-kira 4.40 pagi. – TVS