KUCHING, 21 Feb: Jenazah mantan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dijangka tiba di Lapangan Terbang Kuching jam 3.30 petang ini dari Kuala Lumpur dan akan terus dibawa ke rumah beliau di Demak Jaya, Jalan Bako.
Menurut kenyataan media Kerajaan Sarawak yang dikeluarkan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) sebentar tadi, jenazah akan dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 22 Februari (Khamis) di mana orang ramai boleh memberi penghormatan terakhir mulai jam 8 pagi hingga 11.30 pagi.
Belasungkawa: Mengenang jasa Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud
“Selepas itu jenazah akan dibawa ke Masjid Demak berdekatan kediaman beliau untuk disolatkan sebelum dikebumikan dengan istiadat pengkebumian negeri di perkuburan keluarga di Demak Jaya,” kata kenyataan itu.
Kerajaan Sarawak mengisytiharkan tempoh berkabung di seluruh negeri bermula pada hari ini serta esok dan bendera dinaikkan separuh tiang.
Belasungkawa: Mengenang jasa Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud
Sebarang acara rasmi yang melibatkan hiburan hendaklah ditangguhkan. Masjid dan Rumah Ibadah adalah digalakkan mengadakan majlis doa bagi memperingati pemergian Tun Taib.
Kerajaan Sarawak merakamkan takziah kepada seluruh keluarga allahyarham Tun Pehin Sri.
Tun Abdul Taib Mahmud, 87, meninggal dunia di sebuah hospital di Kuala Lumpur kira-kira jam 4.40 pagi tadi.- TVS