KUCHING, 21 Feb: Jenazah mantan Yang di-Pertua Negeri Sarawak Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud tiba di kediamannya di Demak Jaya pada 5.10 petang, hari ini.
Turut mengiringi jenazah ialah isterinya, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib dan anak-anak Allahyarham.
Keranda yang membawa jenazah kemudiannya diusung oleh pegawai dan anggota daripada Angkatan Tentera Malaysia serta polis ke dalam Masjid Demak Jaya.
Suasana hiba menyelubungi pekarangan rumah apabila ahli-ahli keluarga dan orang kenamaan tiba bagi memberi penghormatan terakhir.
Solat jenazah pada petang ini dipimpin Imam Besar Sarawak, Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.
Esok, jenazah akan dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) dan orang ramai boleh memberi penghormatan terakhir bermula 8 hingga 11.30 pagi.
Seterusnya, jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Demak untuk disolatkan sebelum dikebumikan dengan istiadat pengkebumian negeri, di perkuburan keluarga di Demak Jaya.
Tun Taib, 87, meninggal dunia di sebuah hospital di Kuala Lumpur awal pagi tadi.
Dilahirkan pada 21 Mei 1936, Allahyarham merupakan perancang utama yang mencorakkan pembangunan Sarawak apabila menerajui kepimpinan negeri sebagai Ketua Menteri selama 33 tahun sebelum ini.