KUCHING, 21 Feb: Jenazah mantan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada 4.25 petang.
Jenazah diterbangkan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah,Subang pada 2 petang yang diiringi isterinya, Toh Puan Raghad Kurdi.
Suasana hiba dan sedih menyelubungi ketibaan jenazah bekas Ketua Menteri Sarawak itu yang meninggal dunia sekitar 4.40 pagi tadi di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.
Berada di lapangan terbang ialah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan-timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dan anggota kabinet.
Sebanyak 17 das tembakan meriam dilepaskan sebagai pemakluman pemergian tokoh disegani negeri dan negara itu.
Usai itu, jenazah Allahyarham dibawa ke kediamannya di Demak Jaya, Jalan Bako.
Menurut kenyataan media Kerajaan Sarawak, jenazah akan dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) pada esok hari (Khamis) dengan orang ramai boleh memberi penghormatan terakhir mulai 8 pagi hingga 11.30 pagi.
Selepas itu, jenazah akan dibawa ke Masjid Demak berdekatan kediamannya untuk disolatkan sebelum dikebumikan dengan istiadat pengkebumian negeri di perkuburan keluarga Allahyarham di Demak Jaya.
Terdahulu, pada sebelah pagi, solat jenazah disempurnakan di ruang solat Masjid Negara, sebelum dibawa ke Dewan Syarahan Utama Masjid Negara untuk upacara penghormatan terakhir. – TVS