BERITA sedih tersebar pagi ini apabila mantan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.
Nama Allahyarham bukan nama yang asing bagi rakyat Sarawak dan Malaysia.
Dilahirkan di Miri pada 21 Mei 1936, beliau merupakan Yang di-Pertua Negeri Sarawak ketujuh selepas Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada awal pagi ini di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.

Beliau berkhidmat sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak selama tiga penggal selepas lantikan pertama pada 1 Mac 2014 hingga 28 Februari 2018, manakala lantikan kedua pada 1 Mac 2018 hingga 28 Feb 2022. Menerusi lantikan ketiga, Tun Taib menjadi Yang di-Pertua Negeri Sarawak sehingga 25 Januari lalu.
Khidmatnya digantikan dengan Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada 26 Januari 2024.
Sebelum dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak, beliau merupakan Ketua Menteri Sarawak keempat.
Tun Taib meletak jawatan sebagai Ketua Menteri pada 28 Februari 2014, selepas mengetuai pemerintahan kerajaan negeri selama 33 tahun. Beliau mula menjawat jawatan berkenaan pada 26 Mac 1981.
Sebagai Ketua Menteri yang paling lama mentadbir Sarawak, beliau sememangnya layak diberi gelaran ‘arkitek pembangunan negeri’.
Peminat nombor satu seniman agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee ini, terkenal dengan pendekatan konsep ‘Politik Pembangunan’ yang sentiasa berfikiran ke hadapan untuk membangunkan Sarawak.
Kestabilan politik menerusi perpaduan kaum dan agama di Sarawak sering menjadi dukungannya agar program pembangunan dapat dilaksanakan dengan lancar.

Sepanjang karier politik dan mengetuai pemerintahan kerajaan negeri, beliau banyak melaksanakan pembangunan sosioekonomi yang dinikmati rakyat sehingga kini.
Menerima pendidikan awal di St Joseph’s Primary School Miri, beliau kemudian melanjutkan pengajian ke St. Joseph’s Institution Kuching sebelum mengorak langkah ke Adelaide University Australia untuk memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-undang (LLB) pada 1960.
Pada tahun berikutnya, beliau dilantik sebagai Hakim Bersekutu kepada Tuan Hakim, Herbert Mayo di Australia Selatan.
Tun Taib juga pernah dilantik sebagai Peguam Negara, Sarawak pada 1962 sebelum dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Kerja Raya Negeri Sarawak pada 1963.
Memegang pelbagai portfolio sebagai menteri di peringkat persekutuan, beliau kembali berkhidmat di Sarawak pada 1981 dengan memenangi Pilihan Raya Kecil Sebandi pada 9 Mac 1981.
Beliau kemudiannya dilantik sebagai Menteri Tanah dan Galian Sarawak dalam kerajaan negeri pimpinan bapa saudaranya, Tun Datuk Patinggi Abdul Rahman Ya’kub.
Sebagai individu yang amat berpengaruh dalam politik Sarawak, beliau pernah menjawat jawatan sebagai Pengerusi Barisan Nasional Sarawak dan Yang Dipertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Antara kawasan yang pernah diwakilinya sebagai wakil rakyat ialah Parlimen Kota Samarahan, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebandi, DUN Asajaya dan DUN Balingian.
Atas jasa dan khidmat baktinya, beliau menerima anugerah Seri Maharaja Mangku Negara yang membawa gelaran Tun pada 26 Mei 2014.
Antara lain, Tun Taib juga penerima Satria Bintang Sarawak yang membawa gelaran Pehin Sri pada 13 September 2003.
Menerusi perkahwinan pertama dengan Allahyarhamah Datuk Patinggi Puan Sri Laila Taib, pasangan ini dikurniakan empat anak – Jamilah Hamidah, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir, Datuk Seri Abdul Rahman Sulaiman dan Datuk Hanifah Hajar. Hanifah merupakan Timbalan Menteri Ekonomi dan juga Ahli Parlimen Mukah.
Laila yang dinikahinya pada 13 Januari 1959, meninggal dunia pada 29 April 2009.
Selepas kematian isteri pertamanya, Tun Taib bertemu jodoh dengan Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib. Mereka bernikah pada 18 Disember 2010.