MIRI, 20 Feb: Meskipun tarian naga dan tarian singa merupakan tradisi kebudayaan kaum Cina, tarian ini tidak terhad dan terbuka juga kepada kaum-kaum lain.
Pengerusi Persatuan Tarian Singa dan Naga Wai Sheng Miri, Vincent Chee berkata, pihak mereka bukan sahaja melakukan persembahan untuk bangsa bukan Cina, tetapi juga mempunyai ahli pasukan yang bukan dari kalangan kaum Cina.
“Hubungan kami dengan bangsa lain pun banyak sebab sekarang, bukan saja kaum Cina ambil atau jemput kami buat persembahan, ada juga bangsa Dayak, Melayu dan India, dan lain-lain dan mereka jemput buat persembahan juga.
“Dalam pasukan kami, bukan sahaja bangsa Cina, kami ada bangsa Dayak dan Melayu yang sertai pasukan kami buat persembahan dan ikut kami kerana kami terbuka kepada semua orang dan yang penting dia mesti ada minat. Kalau dia minat, kami akan mengambil dia jadi ahli pasukan kami,” katanya kepada TVS hari ini.
Vincent berkata, persatuan tersebut telah ditubuhkan lebih 15 tahun apabila beliau bersama sekumpulan kawan berkongsi minat dengan tarian naga dan tarian singa, selain ingin menurunkan tradisi ini kepada generasi muda seterusnya.
Mereka juga mempunyai dan menjaga hubungan yang baik dengan persatuan-persatuan tarian naga dan singa lain di Miri memandangkan mereka juga melakukan kajian dan latihan bersama-sama selain bekerjasama dalam melakukan persembahan.
Persatuan ini juga telah menyertai pelbagai peringkat pertandingan tarian naga dan singa dari peringkat bahagian sehingga ke peringkat antarabangsa.
Selepas Tahun Baharu Cina, persatuan ini akan berehat untuk seminggu sebelum membuat latihan dan persiapan untuk Pertandingan Antarabangsa Qilin Dunia yang akan diadakan di Johor pada bulan Mei. -TVS