KUCHING, 20 Feb: Hari Keadilan Sosial disambut pada 20 Februari setiap tahun menekankan akan kepentingan promosi terhadap beberapa isu seperti isu pengangguran, kemiskinan, pengasingan, hak asasi manusia dan perlindungan sosial.
Keadilan sosial juga dapat dilihat menerusi isu sosial menurut sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO), The Generations.
Penasihatnya Aaron Kon berkata, dilihat rapat kerana keadilan sosial dilihat dalam beberapa aspek.
“Antaranya ialah hak peluang ekonomi, politik dan sosial yang sama untuk semua. Saya berpendapat bahawa ia akan menjadi fokus kepada mereka yang mencari kepada penyelesaian isu sosial hari ini,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.
Mengulas mengenai keadilan sosial dari segi infrastruktur, beliau berkata, kerajaan harus memperluaskan lagi, jalan raya di kawasan pedalaman, dalam memudahkan aspek harian bagi komuniti desa.
“Ia bergerak agak perlahan namun dilihat semakin maju. Pada masa ini kami melakukan banyak perkara untuk menyediakan kemudahan untuk penduduk di pedalaman contohnya pendidikan dan kesihatan.
“Namun, pihak kerajaan meletakkan banyak inisiatif dan pembiayaan, terutamanya dengan NGO dan saya fikir ia secara beransur-ansur meningkat, tetapi terdapat juga perkara yang pihak swasta boleh lakukan untuk menangani atau mempercepatkan pembangunan,” katanya lagi.
Aaron dalam masa sama berkongsi, The Generations pernah bekerjasama dengan pihak kerajaan dan NGO yang lain dalam memartabatkan perjuangan keadilan sosial.

“Sebagai contoh, tahun lepas The Generations bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP). Kami mengadakan program dengan pameran fesyen bersama dengan pihak Indonesia untuk kolabrasi dan pertukaran idea dan budaya.
“Kami juga telah bekerjasama dengan Kelab Rotary Kuching yang dikendalikan oleh Andre Suharto dan dalam beberapa projek untuk memberi pendedahan kepada literasi kewangan kepada golongan muda,” katanya lagi.
Tambahnya, beliau turut berharap usaha seumpama itu dapat diperluaskan lagi oleh semua pihak agar dapat memartabatkan lagi perjuangan sosial seperti menggunakan medium aktiviti sukarelawan dalam Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).
Tema Sambutan Yang Ditetapkan Pertubuhan Bangsa – Bangsa Bersatu (PBB) bagi tahun ini adalah, Kerjasama Global Demi Keadilan Sosial, Merapatkan Jurang Perbezaan dan Memperkukuh Jaringan Kerjasama. – TVS