KUCHING, 20 Feb: Pelantikan Datuk Mutang Tagal adalah satu testimoni kepercayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kemampuan penilaian kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mencadangkan individu berkelayakan sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala menyifatkan pelantikan itu bukti jelas hubungan erat yang berterusan antara Kerajaan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan.
“Pelantikan ini adalah penegasan semula peranan kuat dan bermakna bahawa GPS di bawah kepimpinan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan terus memberi sokongan kepada Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, pelantikan itu juga adalah amat bermakna dan bersejarah buat masyarakat Orang Ulu kerana beliau merupakan Yang di-Pertua Dewan Negara pertama dari kaum tersebut.
Beliau berkata langkah itu merupakan satu pengiktirafan terhadap bakat masyarakat Orang Ulu yang mampu berkhidmat dan menyumbang kepada pembangunan negara bangsa di peringkat yang lebih tinggi.
“Saya mendoakan yang terbaik untuk Datuk Mutang dan saya yakin dengan kemampuan beliau untuk menyampaikan dan memberi impak sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara.
“Beliau mempunyai tanggungjawab dan tugas yang besar untuk dilaksanakan kepada negara. Beliau akan berkhidmat dengan sebaik mungkin dan membawa penghormatan kepada masyarakat kita dan Negeri Sarawak,” katanya.
Gerawat berkata pengalaman yang luas dalam dunia politik dan penglibatan beliau dalam sektor korporat serta perniagaan membuktikan beliau layak memegang jawatan itu.
Mutang menggantikan Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang meletakkan jawatannya sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara dan kemudian dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada 26 Jan lepas.
Pada Mesyuarat Khas Penggal Kedua Parlimen ke-15 Dewan Negara yang berlangsung hari ini, Anwar mengemukakan nama Mutang yang merupakan calon tunggal sebagai cadangan nama ahli untuk dipilih ke jawatan itu.
Mutang, 69, yang pernah menjadi Ahli Parlimen Bukit Mas dari 1982 hingga 1990, memiliki Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Curtin University dan kini menjawat beberapa jawatan, antaranya Presiden Dewan Perniagaan dan Industri Orang Ulu (OUCCI), Penasihat Undang-undang Persatuan Lun Bawang Sarawak dan Naib Presiden Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF). – TVS