KUCHING, 20 Feb: Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Sarawak (MYSED) memberi sokongan penuh usaha Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA) yang mahu membawa Kejohanan Tinju Dunia (WBC) Asia 2024 ke Sarawak.
Menterinya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pertandingan seumpama itu pada kebiasaannya akan mendapat tontonan dan perhatian daripada peminat sukan berkenaan dari seluruh dunia.
Kejohanan berkenanan juga katanya, berupaya menjadi loncatan untuk Sarawak mempamerkan kemampuannya menganjurkan acara-acara sukan berprestij.
“Kebiasaannya sukan ini (tinju) bukannya melibatkan satu perlawanan sahaja kerana selalunya akan ada perlawanan-perlawanan lain pada masa kejohanan yang sama itu.
“Oleh yang demikian, impaknya terhadap publisiti kepada Sarawak serta kepada sektor pelancongan negeri amat besar sekali, jadi untuk itu kita bersedia untuk membantu SABA,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pelancaran Filem ‘Raya Emas The Movie Salako Sacret Treasure’ di Muzium Kebudayaan Borneo di sini, hari ini.
Menurut Abdul Karim, hasrat tersebut juga sudah disampaikan kepada Presiden SABA, Dato Rahman Lariwoo bagi memulakan usaha untuk membawa acara WBC Asia 2024 ke Sarawak.
Terdahulu, Datuk Rahman memberitahu, keputusan cadangan untuk membawa WBC Asia 2024 ke Sarawak dijangka diketahui pada penghujung bulan ini selepas beberapa siri pertemuan dan perbincangan bersama badan induk sukan tinju berkenaan. -TVS