KUCHING, 20 Feb: Selepas golongan rentan, kanak-kanak dari keluarga berpendapatan rendah atau B40 akan menjadi fokus seterusnya Pusat Sokongan Sosial Masyarakat (CSSC) Kuching.
Jelas Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, golongan kanak-kanak terutama dari flat perumahan berdekatan menghadapi masalah untuk mendapatkan suasana yang kondusif bagi pembelajaran.
Justeru, beliau mahu pusat tersebut menubuhkan kelas bimbingan tuisyen untuk membantu golongan tersebut sekali gus menyediakan persekitaran yang selesa bagi membolehkan golongan kanak-kanak belajar dengan lebih baik.
“Bermula dengan kawasan ini, flat KMC. Kita boleh buka pusat ini untuk mereka (kanak-kanak) datang untuk kelas (bimbingan) tuisyen dan kita akan cari guru tuisyen
“Kita percaya ini boleh mengubah mereka (kanak-kanak). Kita tahu mereka dari keluarga berpendapatan rendah, mereka bekerja di (kedai makan) Top Spot, jika mereka tidak bekerja mereka tidak akan mendapat pendapatan harian RM50,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Kesejahteraan Komuniti Rentan di CSSC Kuching bersempena Tahun Baru Cina 2024 yang diadakan di pusat tersebut hari ini.
Jelas Fatimah menerusi kelas bimbingan tusyen tersebut, ia diharap dapat membantu dalam menghasilkan golongan kanak-kanak yang terpelajar sekali gus memutuskan kitaran kemiskinan yang berlaku di dalam keluarga tersebut.
Tambahnya lagi, beliau akan bekerjasama dengan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) untuk menjalankan kelas bimbingan tusyen tersebut tidak lama lagi. -TVS