KUCHING, 20 Feb: Program Hari Bertemu Pelanggan Kementerian Sumber Manusia Peringkat Wilayah Sarawak 2024 memberi manfaat kepada semua pihak.
Menurut Siti Shafiqah Mohadi yang merupakan pelajar di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), maklumat yang diperoleh dari program itu dapat digunakan untuk memilih Latihan Industri yang tepat.
“Kami mendapat maklumat yang tepat berkenaan Latihan Industri dari program ini. Selain itu, ia juga memudahkan kami untuk mengisi maklumat yang diperlukan oleh pempamer yang terdiri daripada Jabatan/Agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia,” katanya ketika ditemui TVS di Program Hari Bertemu Pelanggan Kementerian Sumber Manusia di sini, hari ini.
Sementara itu, daripada pihak pempamer pula, mereka berpeluang untuk memberi pendedahan kepada orang awam mengenai peranan jabatan atau agensi mereka.
Penolong Pengarah Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) Sarawak, Noorlia Mahlee berkata, masih ramai lagi yang tidak menyedari kewujudan jabatan mereka.
“Selalunya mereka tidak mengetahui mengenai jabatan kami (JPP Sarawak) hingga terpaksa pergi ke luar Kuching dan Pejabat Tenaga Kerja untuk mendapatkan khidmat nasihat.
“Sebab itulah bila adanya Hari Bertemu Pelanggan seperti ini, ia memberi peluang kepada orang awam bertemu secara bersemuka dengan kami untuk mendapatkan khidmat nasihat,” ujarnya.
Program Hari Bertemu Pelanggan KSM yang diadakan pada hari ini telah dirasmikan oleh Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.
Program yang bermula pada jam 10 pagi hingga 5 petang itu bertujuan untuk memberi peluang kepada pelanggan mengemukakan cadangan dan aduan kepada KSM, memudahkan pelanggan mendapat maklumat tentang perkhidmatan jabatan dan agensi di bawah KSM dan mendapatkan maklum balas pelanggan berkenaan perkhidmatan yang disampaikan.
Terdapat 14 jabatan dan agensi mengambil bahagian dalam program ini, antaranya Jabatan Tenaga Kerja Sarawak (JTK Sarawak), Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP), Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan sebagainya.
Dalam pada itu, pada majlis sama Steven Sim juga telah menyempurnakan Pelancaran Buku Panduan Cegah dan Banteras Amalan Buruh Paksa dan Pemerdagangan Orang.
Buku ini merupakan salah satu usaha Jabatan Tenaga Kerja Sarawak untuk memberi kesedaran kepada pihak-pihak terlibat dalam usaha mencegah dan membanteras amalan buruh paksa dan jenayah pemerdagangan orang di negara ini menjelang 2030. – TVS