KUCHING, 20 Feb: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menggalakkan pemain industri di negara ini menggunakan teknologi Virtual Production atau Produksi Maya dalam usaha memastikan produksi tempatan mampu bergerak seiring dengan teknologi semasa dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Dato Azmir Saifuddin Mutalip berkata, aplikasi teknologi terkini dalam produksi adalah menjadi keperluan bagi mengetengahkan lebih banyak hasil kerja berkualiti.
Katanya, pembangunan teknologi Produksi Maya akan menyumbang kepada pembangunan modal insan dan kepakaran pengkarya muda tempatan.
“Semestinya kita sebagai pembikin filem TV semua menggunakan teknologi semuanya jadi kita perlu pastikan kita akan melalui arus perubahan seperti apa kemajuan teknologi pada lima atau 10 tahun hadapan.
“Jadi, kita punya kru-kru pembikin filem sentiasa bersedia dan juga berdaya saing kerana itu kita nampak di filem hollywood,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi dialog bersama pemain industri di FINAS Cawangan Sarawak di sini, hari ini.
Terdahulu, Iskandar Malaysia Studios (IMS) Johor dan Oceanus Media Global (OMG) menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) pada program Asia TV Forum & Market di Singapura antara 5 hingga 7 Disember lalu.
Kerjasama inovatif itu akan menyelaras kekuatan kedua-dua entiti di samping membantu memperkaya landskap penceritaan dan pengalaman yang mendalam dalam penghasilan sesebuah karya. -TVS