KUCHING, 20 Feb: Dana Borneo Pitch atau Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA) oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) masih diteruskan yang berperanan untuk memudah cara pengurusan dan operasi menyalurkan dana untuk para penggiat seni di Sabah dan Sarawak.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Dato Azmir Saifuddin Mutalip, tiada masalah untuk pihaknya meneruskan pelaksanaan dana Borneo Pitch di kedua-dua buah negeri tersebut setakat ini.
Jelasnya, mereka akan membuat penambahbaikan dengan memberi fokus terhadap aspek yang lebih penting selepas ini seperti skrip dan juga kandungan filem yang diterbitkan.
Tambahnya, melalui dana tersebut mereka boleh menjalankan tugas mereka untuk menghasilkan bahan yang bermutu tinggi dan membangunkan modal insan yabg intelek dalam kalangan pemain industri di Sabah dan Sarawak.
“Program yang bagus ini saya akan teruskan sebab kita tak nampak ada isu berkenaan perkara tersebut cuma kita akan buat penambahbaikan.
“Tadi saya ada sebutkan tentang fokus kepada skrip jadi Insya-Allah kita akan adakan lagi Borneo Pitch menjurus kepada isi kanduungan dan penukisan skrip,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas sesi dialog bersama pemain industri di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Cawangan Sarawak di sini, hari ini.
Terdahulu, pelaksanaan inisiatif Borneo Pitch telah memanfaatkan penggiat industri kreatif tempatan menerusi peruntukan berjumlah RM3,775,000.
Ia telah melibatkan penghasilan 16 buah projek kandungan kreatif yang merangkumi penerbitan filem cereka, dokumentari dan program TV. -TVS