LUBOK ANTU, 19 Feb: Peruntukan RM300,000 oleh Kerajaan Sarawak di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai telah diagihkan kepada penerima.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr Malcom Mussem Lamoh berkata, sebanyak RM50,000 daripada peruntukan tersebut digunakan untuk membiayai projek menaik taraf Dewan Pemanca Manau.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai berkata, jumlah peruntukan yang diberikan juga sama bagi setiap kawasan di Batang Ai.
“Ia diserahkan secara berperingkat-peringkat termasuk pada program hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Program Randau Akademik 2024 di Rumah Panjang Francis James Bada, Skarok di sini semalam.
Sementara itu Malcom Mussem memaklumkan, antara yang menerima peruntukan termasuklah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Panjang Francis James Bada (RM15, 000) dan Biro Wanita Rumah Panjang Francis James Bada (RM5,000).
“Selain itu Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Skarok turut menerima agihan sebanyak RM10, 000 dan Sarawak Dayak Educators Association Miri sebanyak RM20, 000,” katanya. -TVS