Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Jabatan Premier Sarawak 2024, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini. Foto Zaim Zharfan (TVS)

Penjawat awam Sarawak akan dihantar sertai kursus di Universiti Harvard – Abang Johari

ByAhmad Burhanuddin

KUCHING, 19 Feb: Kerajaan Sarawak akan menghantar penjawat awam negeri menyertai kursus jangka pendek sebagai di universiti terkemuka di luar negara sebagai pendedahan kepada teknologi baharu yang berteraskan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah itu juga sebagai persediaan untuk penjawat awam menyokong tiga agenda besar yang digariskan tahun ini iaitu penubuhan syarikat penerbangan milik Sarawak, pengambilalihan Pelabuhan Bintulu dan pemilikan pegangan saham dalam bank komersial.

“ESG penting, oleh sebab itu, kami (Sarawak) akan menghantar sebahagian daripada anda (penjawat awam) untuk mengikuti kursus jangka pendek di pelbagai institusi, antaranya di Universiti Harvard (Amerika Syarikat) dan Lee Kuan Yew School of Public Policy (di Singapura).

“Kita (Sarawak) ingin mendedahkan anda (penjawat awam) terhadap metodologi semasa dalam mendepani masalah dan juga mencari jalan penyelesaian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Jabatan Premier Sarawak 2024, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Menerusi kursus pendek itu kata Abang Johari, penjawat awam yang terpilih akan didedahkan dengan perbincangan dan kajian kes yang akan memberi manfaat kepada mereka bagaimana untuk menyelesaikan cabaran yang dihadapi oleh kerajaan negeri.

“Di pihak saya, anda (penjawat awam) tahu kabinet juga perlu menyesuaikan diri apabila kita membentuk sesuatu dasar.

“Kami (Kerajaan Sarawak) mahu menggubal dasar yang praktikal dan sesuai dengan keadaan semasa, sejajar dengan cabaran yang dihadapi oleh kerajaan,” katanya.

Terdahulu, Abang Johari dan isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang meluangkan masa bersama warga Jabatan Premier Sarawak sempena dengan Majlis Tahun Baharu Cina anjuran jabatan itu.

Yang turut hadir, Timbalan-timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan