KUCHING, 19 Feb: Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA) bercadang menganjurkan Kejohanan Tinju Dunia (WBC) Asia di Kuching pada Mei ini.
Presidennya, Datuk Rahman Lariwoo berkata perbincangan untuk menjadikannya realiti masih di peringkat perbincangan dengan badan tinju dunia itu.
Keputusan mengenai lokasi penganjuran sukan itu akan diketahui selewat-lewatnya penghujung Februari ini yang diputuskan menerusi mesyuarat Jawatankuasa Penganjuran WBC Asia 2024
Fokus Kilat Boy kini untuk cipta nama pada Kejohanan Tinju Dunia Asia
“Saya berharap, jika WBC Asia dapat dibawa ke Sarawak ia adalah satu sejarah bukan sahaja untuk Sarawak tapi juga untuk Malaysia kerana ia pertama kali diadakan di negara ini,” katanya.
Beliau ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching bagi menyambut ketibaan petinju Sarawak Daeloniel Mcdelon Bong atau Kilat Boy, malam ini.
Rahman berkata lagi, jika berjaya, kejohanan itu dicadang diadakan di Stadium Negeri.
Jelasnya, penganjuran sukan bertaraf antarabangsa ini akan memberi pendedahan kepada atlet tinju tentang suasana kejohanan berprestij itu.
Beliau yakin SABA berupaya menganjurkan kejohanan itu bersandarkan kejayaan dua penganjuran Kejohanan Tinju Terbuka Sarawak.
Jelasnya lagi, apabila Sarawak disahkan sebagai tuan rumah, WBC Asia itu akan diselitkan dalam Kejohanan Tinju Terbuka Sarawak 2024.
“Kalau dapat kita hendak adakan lebih daripada lima kategori untuk meriahkan pertandingan WBC Asia 2024 itu,” katanya. – TVS