LIMBANG, 19 Feb: LAKU Management Sdn Bhd hari ini mengesan satu lagi kebocoran saluran paip utama di Jambatan Lubok Piasau yang menyebabkan masalah tekanan air di Daerah Limbang.
LAKU menerusi kenyataan memaklumkan usaha pemulihan bekalan air yang sedang dijalankan masih berterusan untuk memulihkan tekanan air di Daerah Limbang.
Kawasan terjejas termasuk Kampung Lubok Sigantang atau Aur dan Kampung Lubok Piasau.
“LAKU bersama Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) secara konsisten memberi perkhidmatan lori tangki air dan air minuman botol,” kata kenyataan itu.
Sejumlah 388,000 liter air terawat dan 1,264 kotak air minuman botol diedarkan kepada penduduk kawasan yang terjejas.
Kawasan yang terjejas telah menunjukkan tanda-tanda pemulihan tekanan secara positif.
Bagi memastikan pemulihan yang lancar dan konsisten semasa tempoh pemulihan ini, LAKU masih terus menjalankan tugas seperti melepaskan air dari paip utama.
LAKU juga melakukan pemeriksaan visual di kawasan tekanan air rendah untuk mengesan kebocoran atau paip pecah yang mungkin dipandang lepas dan analisis meter.
“Ia dijangka akan selesai dalam tempoh 24 jam akan datang. Setelah proses ini selesai, bekalan air akan kembali normal secara beransur-ansur di semua kawasan yang terjejas,” kata kenyataan itu.