Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bank-bank perlu mempunyai kudrat tinggi untuk kekal berdaya tahan. Foto Bernama

Industri perbankan perlu terus kekal berdaya saing untuk tangani cabaran global

KUALA LUMPUR, 19 Feb: Industri perbankan negara digesa untuk terus kekal berdaya saing bagi menangani keserentakan fenomena tiga C iaitu Complexity (kerumitan), Chaos (kehuru-haraan) and Contradictions (percanggahan) di era pasca normal pada masa sekarang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata memandangkan industri kewangan memainkan peranan penting untuk menyokong ekonomi negara, bank-bank perlu mempunyai kudrat tinggi untuk kekal berdaya tahan dengan fenomena tiga C itu.

Anwar turut menekankan bahawa institusi kewangan menjadi tonggak dalam sistem ekonomi negara dan sekiranya industri itu kekal teguh ia akan dapat meningkatkan keyakinan rakyat serta pelabur.

“Bank-bank perlu menggalas tanggungjawab untuk bersama kerajaan menjayakan reformasi ekonomi yang diketengahkan dalam Ekonomi MADANI.

“Kerangka ini berhasrat untuk membawa transformasi ekonomi dengan menjulang nilai ekonomi dalam rantaian bekalan dunia serta menambah baik kemampanan ekonomi negara,” kata beliau semasa berucap pada majlis peluncuran myimpact SME Hub anjuran Malayan Banking Bhd (Maybank), di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata kerangka Ekonomi MADANI menumpu kepada tiga industri iaitu peralihan tenaga, keterjaminan makanan dan transformasi digital untuk mengukuhkan kedudukan negara.

Sehubungan itu, kata beliau, bagi memastikan kesaksamaan kekayaan dapat ditegakkan, Ekonomi MADANI perlu menekankan untuk membawa sektor Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) menyertai industri tersebut.

Sementara itu, Anwar turut berbangga dengan kejayaan dan prestasi Maybank di Malaysia dan juga di peringkat serantau sebagai sebuah institusi kewangan gergasi yang telah melakar sejarah dengan perkembangan ekonomi negara.

Antara kejayaan Maybank termasuklah menggunakan instrumen kewangan yang lebih canggih dan mematuhi peraturan ketat yang dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia (BNM), kata beliau. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan