KUCHING, 19 Feb: Kajian Agensi Nuklear Malaysia (ANM) mendapati kadar radiasi daripada telekomunikasi 5G di seluruh Sarawak tidak melebihi dua peratus dan diklasifikasikan sebagai tidak merbahaya.
Pengurus Bahagian Keselamatan dan Kesihatan Radiasi ANM, Roha Tukimin berkata kadar bahaya radias ialah 10 peratus yang menambah, pihaknya telah menjalankan penilaian radiasi di semua bahagian di Sarawak termasuk jauh ke pedalaman di Bario.
“Kita mula membuat kajian mengenai radiasi di Sarawak pada 2016 dan disusuli dengan menandatangani MoU dengan SMA pada 2019.
“Bagaimanapun, kita ingin memperbaharui MoU dengan SMA untuk pembangunan 5G di Sarawak agar kerjasama kita terus diperkukuhkan,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) hari ini.
Dalam pada itu, Pemangku Pengurus Besar SMA Ng Hong Ping berkata, pihaknya akan terus memperkukuhkan kerjasama dengan ANM dalam menyebar luas maklumat sahih kepada orang ramai mengenai pembangunan telekomunikasi 5G.
Menurutnya, satu kertas kerja akan diusahakan oleh ANM agar kerjasama terbabit diperkukuhkan dengan memorandum persefahaman (MoU).
“Kami amat mengalu-alukan kerjasama dengan ANM terutamanya memberitahu masyarakat dengan maklumat yang tepat dan sahih mengenai Pembangunan telekomunikasi 5G.
“Malah kita juga memerlukan kepakaran daripada ANM untuk menyakinkan orang ramai berkaitan isu-isu berbangkit kerana pembangunan 5G merupakan agenda nasional,” katanya.
Sementara itu, pada Khamis lepas, ANM dan SMA bersama-sama beberapa agensi lain turut turun padang untuk menguji kadar radiasi di kawasan Stutong dengan bacaan kurang daripada 0.5 peratus.