BINTULU, 18 Feb: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) akan mengukuhkan kerjasama bagi melonjakkan lagi industri pelancongan di Sarawak.
Menteri MOTAC Datuk Seri Tiong King Sing berkata, perbincangan berkenaan akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat selaras dengan saranan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang mahu usaha mempromosi pelancongan Sarawak terus diperhebatkan.
Kerjasama erat King Sing, Abdul Karim mampu perhebat industri pelancongan Sarawak – Abang Johari
“(Sebelum ini) beliau (Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah) sering berkongsi dengan saya bagaimana untuk meningkatkan ketersambungan (dari negara luar) ke Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2024 anjuran Parti Demokratik Progresif (PDP) di Dewan Suarah Bintulu di sini hari ini.
Majlis itu turut dihadiri oleh Abang Johari serta beberapa menteri Kerajaan Sarawak.
Sementara itu, King Sing yang juga Presiden PDP mendedahkan, sepanjang lawatan ke beberapa tempat sempena Tahun Baharu Cina ini, beliau menerima pelbagai saranan daripada masyarakat akar umbi supaya mempromosikan tempat pelancongan di Sarawak.
“Ada beberapa kawasan boleh dijadikan sebagai tempat pelancongan baharu seperti air terjun di Selangau, Sibu dan lain-lain,” katanya.
Mengenai perbincangan beliau dengan Abdul Karim, King Sing berkata, perkara itu akan dilakukan sebaik sahaja sambutan Tahun Baharu Cina selesai.
Kata beliau, antara yang akan disentuh termasuklah pelan serta perancangan yang sesuai untuk memacu industri pelancongan Sarawak. -TVS