KUDAT, 18 Feb: Rakyat di negara ini disaran menjadikan 506 perpustakaan desa di seluruh negara sebagai pusat aktiviti komuniti dan mengukuhkan perpaduan.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Aaron Ago Dagang berkata, pelbagai program telah dilaksanakan pihaknya bagi merealisasikan hasrat berkenaan antaranya menganjurkan program Klik eUsahawan di 10 lokasi perpustakaan desa seluruh negara .
“KPN mengambil pendekatan ‘Merakyatkan Perpustakaan’ bagi meningkatkan peranan perpustakaan dalam membentuk masyarakat Malaysia MADANI.
“Melalui usaha ini, pemerkasaan perpustakaan desa akan diberikan penekanan dengan meningkatkan capaian internet dan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi,” katanya ketika hadir menyempurnakan majlis perasmian Perpustakaan Desa Kampung Kumbatang, Matunggong dan Kudat di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Aaron berkata, perpustakaan merupakan salah satu pusat pertemuan komuniti setempat, oleh itu komitmen untuk menyediakan fasiliti perpustakaan seperti Perpustakaan Desa (PD) di seluruh negara dan menjadikannya sebagai pemangkin perpaduan menjadi antara agenda KPN.
Sementara itu, mengulas mengenai bangunan baharu Perpustakaan Desa Kampung Kumbatang, Aaron berkata, perpustakaan dengan keluasan 1,000 kaki persegi itu menjadi mercu tanda penduduk Daerah Matunggong dengan mempunyai kemudahan bahan bacaan, komputer dan perkhidmatan Wi-Fi secara percuma kepada penduduk setempat sejak Februari 2022.
“KPN percaya usaha menaik taraf Perpustakaan Desa Kampung Kumbatang dapat memberi impak positif dan berterusan kepada masyarakat ke arah meningkatkan kadar literasi maklumat dan cintakan ilmu selaras dengan hasrat kerajaan untuk membudayakan masyarakat dengan ilmu pengetahuan,” katanya. – TVS