BINTULU, 18 Feb: Pelabuhan Bintulu ketika ini merupakan pelabuhan tunggal yang menyediakan sumber metanol kepada kapal dagang di laluan perdagangan Asia, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Premier Sarawak itu berkata, lokasinya yang strategik juga menjadi faktor Kerajaan Sarawak mahu mengambil alih pelabuhan berkenaan daripada Kerajaan Persekutuan.
Kata beliau, Pelabuhan Bintulu turut menjadi pilihan kapal untuk singgah berlabuh kerana memiliki sumber metanol.
“Sekarang kapal tidak menggunakan minyak (kerana beralih kepada penggunaan) metanol dan Pelabuhan Bintulu menawarkannya, tempat lain (seperti) Singapura tidak ada metanol, Indonesia ada namun (lokasinya) jauh.
“(Oleh itu) Sarawak yang terletak di tengah Asia (dan mempunyai tenaga metanol), sebab itu kita amat optimis pengambilannya akan merancakkan lagi industri perkapalan di Bintulu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Parti Demokratik Progresif (PDP) di Dewan Suarah Bintulu di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom.
Pada 8 Januari lalu, kata sepakat dicapai untuk menyerahkan Pelabuhan Bintulu kepada Sarawak pada Jun ini.
Ini dipersetujui oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dan Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (MIPD) menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) akan yang akan ditandatangani pada bulan ini.
Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak akan mewujudkan Lembaga Pelabuhan Bintulu (Sarawak) di bawah Ordinan Lembaga-Lembaga Pelabuhan, 1961. – TVS