KUCHING, 18 Feb: Pihak polis berjaya membuat tangkapan dua suspek lelaki warganegara tempatan yang dipercayai terlibat dalam kes khianat kenderaan yang dilaporkan berlaku di Taman Pangol Jaya, Jalan Lapangan Terbang Baru di sini, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ashmon Bajah berkata, tangkapan kedua-dua suspek berusia 33 dan 42 tahun itu dibuat sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kuching bertempat di Jalan Stapok Utama, Batu Kawa, semalam.
Menurutnya, kerugian yang dialami pengadu akibat kejadian itu dianggarkan berjumlah RM3,850.
“Hasil semakan rekod kesalahan lampau mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod tangkapan melibatkan tiga kes jenayah dan tiga kes dadah.
“Ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah methamphetamine dan amphetamine,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, permohonan reman ke atas suspek akan dibuat hari ini di Mahkamah Majistret Kuching bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” tegasnya.
Ashmon turut mengalukan maklumat orang awam berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang di Daerah Kuching dengan menyalurkan maklumat menerusi talian 082-244444 atau melalui aplikasi vsp 2.0. -TVS