TANJUNG MANIS, 17 Feb: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyarankan agar saluran paip air ke Loji Bekalan Air Tanjung Manis ditambahbaik memandangkan saluran paip sedia ada ketika ini yang merentasi dua sungai dibina di dasar sungai yang mungkin akan menyukarkan kerja pengesanan sekiranya terdapat kebocoran.
Beliau berkata, saluran paip ini menyeberangi tujuh sungai yang dibuat di bawah sungai boleh digunakan untuk kegunaan sementara sahaja.
“Jadi saya telah mengarahkan supaya paip ini disalurkan menggunakan jambatan. Kekuatan jambatan akan ditingkatkan agar saluran paip boleh dibina merentasi jambatan ini. Risiko dibina di bawah air ialah kalau berlaku kebocoran kerana struktur tanah yang berubah dan paip bergesel maka ia akan mengganggu saluran air.
“Kalau dibina merentasi jambatan baharu kita dapat kesan sekiranya berlaku kebocoran,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Loji Bekalan Air Tanjung Manis dan Program Pemimpin Bersama Rakyat di sini, hari ini.
Katanya, bekalan air yang disalurkan ini bukan sahaja dapat digunakan oleh penduduk di Tanjung Manis, tetapi juga kawasan sehingga ke Sibu termasuk Bawang Asan dan Daro.
“Walaupun Daro akan menerima bekalan air dari Sarikei namun terdapat kampung-kampung dan rumah panjang yang harus dibekalkan dengan air terawat,” katanya.
Loji Rawatan Air Tanjung Manis telah mula beroperasi sejak 2 Oktober 2023 dan projek ini merupakan sebahagian daripada Pelan Induk Bekalan Air dan Grid Air Sarawak yang menelan belanja sebanyak RM974.1 juta memanfaatkan 2,431 penduduk.
Antara kawasan yang mendapat manfaat daripada siapnya projek ini adalah Pekan Tanjung Manis, Kampung Belawai, Jerijeh, Rajang, Serdeng, Sedau dan Bekakong.
Di samping itu, air terawat dari Loji Rawatan Air Tanjung Manis juga akan disalur ke Pulau Bruit setelah projek “Proposed Water Supply to Pulau Bruit, Mukah Division” siap sepenuhnya pada suku kedua tahun ini. -TVS