KUCHING, 17 Feb: Sarawak merupakan negeri ketiga yang merekodkan jumlah kes tertinggi berkaitan keganasan rumah tangga di negara ini pada tahun lepas, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.
Menurut Nancy, Sarawak berada dikedudukan ketiga tertinggi selepas Selangor dan Kedah dengan jumlah kes keganasan rumah tangga sebanyak 473 kes pada tahun 2023 berbanding 624 kes pada tahun 2022
Nancy mendedahkan secara keseluruhan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan kes keganasan rumah tangga bagi tahun 2023 yang telah dilaporkan di seluruh negara mencatatkan sebanyak 5,507.
“Jumlah keseluruhan pada tahun lalu menunjukkan sedikit penurunan kes berbanding tahun 2022 iaitu 6,540 kes,” katanya kepada pemberita pada sidang media Majlis Perasmian Program Semarak Skuad Waja Sarawak Bicara Wanita Peringkat Negeri Sarawak di sini, hari ini.
Nancy dalam pada itu mendedahkan terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada keganasan rumah tangga antaranya adalah faktor ekonomi.
“Ini adalah andaian sahaja, ia terjadi apabila pasangan tidak mampu memenuhi keperluan keluarga yang menjurus kepada tekanan.
“Faktor lain adalah apabila berlakunya orang ketiga. Selalunya apabila si suami berjaya akan ada wanita di sampingnya, maka apabila terjadi dua orang dalam pasangan tersebut maka ia akan menjadi rumit,” katanya lagi.
Nancy yang disoal pemberita berkaitan langkah pihaknya menangani isu keganasan rumah tangga di negara ini mendedahkan penubuhan Skuat Waja merupakan antara inisiatif terkini.
“Skuad Waja berfungsi sebagai agen perubahan yang meningkatkan pengetahuan wanita dalam hal perundangan, modus operandi jenayah, dan tindakan yang perlu diambil sekali gus bertindak sebagai sumber rujukan untuk masyarakat dalam menangani keganasan terhadap wanita dan membantu mangsa merujuk kes kepada pihak berwajib serta mendapatkan bantuan profesional,” jelasnya.– TVS