BALAI RINGIN, 17 Feb: Peruntukan berjumlah RM55 juta bagi kerja menaiktaraf Pasar Balai Ringin dan tebingan sungai baharu telah diluluskan.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan berkata peruntukan tersebut diluluskan di bawah Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA).
“Secara menyeluruh saya nak lihat kita meningkatkan ekonomi kita dan salah satu daripadanya ialah kita memperbesarkan pasar Balai Ringin dan tebingan sungai baharu dan ianya dah dalam proses,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kursus Penyelanggaraan Kebun Durian Siri 1/2024 di Balai Ringin pada Sabtu.
Tambahnya, pembangunan ini akan menyediakan lebih banyak ruang jualan bagi peniaga dengan jangkaan 40 gerai, tamu dan kedai pelbagai jenis jualan pada bahagian tingkat atas bangunan itu nanti.
Ujarnya lagi, pusat jualan kraf tangan akan turut disediakan bagi para peniaga berkumpul menjual hasil kraftangan mereka kepada orang awam. -TVS