SIBU: Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian optimis pembangunan terancang menerusi Pelan Pembaharuan Bandar Sibu bakal merubah wajah Sibu kepada bandar raya bertaraf dunia.
Beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, perancangan teliti sedang dilaksanakan pada ketika ini bagi menjayakan projek mega tersebut.
“Ramai orang tidak faham tentang rancangan ini. Ia bukan seperti membina taman, perumahan tetapi projek melibatkan 500 ekar tanah,
“Oleh itu, ia mengambil masa serta mempunyai banyak pelan dan perancangan termasuk wang ringgit yang diperuntukkan kerajaan,” katanya pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Majlis Perbandaran Sibu (MPS) di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di sini, hari ini.
Dr Sim mendedahkan pelan berkenaan tidak melibatkan pembangunan di tapak baharu namun akan dibangunkan di kawasan asal bandar raya itu
“Banyak rumah, bangunan komersial dan sebagainya akan terlibat dalam projek ini. Perancangan ini adalah perkara besar yang memerlukan masa. Kalau orang cakap projek ini boleh mengambil masa tiga bulan, itu tidak benar.
“Sebab kita membina sebuah bandar raya, membangunkan semula bandar Sibu menjadi sebuah bandar raya sudah pasti ia tidak boleh dibuat sekelip mata,” tegasnya sambil memberi bayangan bandar raya Sibu akan dibangunkan pangsapuri serta kediaman yang dikelilingi terusan di sini.
Dengan kepesatan rancangan projek itu, beliau berharap perunding tempatan komited menggerakkan peranan masing-masing.
Hadir sama, isteri Dr Sim, Datin Amar Enn Ong Siok Ean, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Joseph Chieng, Pengerusi MPS Clarence Ting, Timbalan Pengerusi MPS Mohammad Abdullah Izkandar Roseley, Pemangku Setiausaha MPS Tony Wong dan pengerusi penganjur Kaunselor Kiing Teck Ho. -TVS