SIBU, 17 Feb: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg optimis inisitif Sarawak menghasilkan produk hiliran berdasarkan sumber minyak dan gas seperti metanol bakal menarik minat kapal antarabangsa berlabuh ke pelabuhan negeri ini.
Perkara itu menurut beliau berikutan kebanyakkan kapal kini menggunakan metanol sebagai bahan bakar enjin kapal.
“Kita akan mengeluarkan metanol hijau. Kebanyakkan bertukar daripada menggunakan minyak ke metanol untuk enjin mereka. Kita lihat Sibu banyak mengeluarkan kapal.
“Ini secara tidak langsung mempromosikan pelabuhan kita sebagai hab fasiliti untuk kapal antarabangsa kerana mereka memerlukan metanol ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina SUPP di Sibu, pada Sabtu.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan inisiatif tenaga hijau telah membantu mengangkat nama Sarawak sehingga dikenali di mata dunia termasuk negara-negara maju.
“Saya telah diminta untuk berucap di Bali, Tokyo, Italy dan banyak lagi negara mengenai polisi dan adaptasi tenaga boleh diperbaharui di Sarawak. Ini bermakna dunia telah mengenali kita,” kata beliau.-TVS