TANJUNG MANIS, 17 Feb: Loji Bekalan Air Tanjung Manis yang telah siap dan dirasmikan hari ini dilihat berupaya menyelesaikan masalah bekalan air yang membelenggu penduduk selama ini sama ada untuk kegunaan domestik atau industri.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, loji ini membekalkan air mentah dari Sibu ke Tanjung Manis sehingga 50 juta liter sehari dengan sejumlah 30 juta liter sehari air mentah bertujuan untuk dirawat di Tanjung Manis dan seterusnya dibekalkan kepada penduduk di kawasan sekitarnya.
“Baki 20 juta liter sehari lagi air mentah adalah untuk memenuhi keperluan kawasan industri di Tanjung Manis. Kawasan ini banyak kampung-kampung seperti Belawai, Jerijih, Rajang, Semalau, Sebayang, Tanjung Manis, Bekakong dan Serdeng akan mendapat manfaat daripada loji air terawat ini. Begitu juga sekiranya saluran paip ini sudah sampai ke Pulau Bruit kelak yang turut menerima manfaat.
“Dengan adanya projek ini, ia diharap dapat menyelesaikan masalah yang kita sering lalui sebelum ini. Selepas ini kita akan mempunyai dua saluran sumber air iaitu satu dari Sarikei yang telah digunakan sejak tahun 1990 manakala satu lagi dari Sibu ini.
“Kalau kita lihat dari segi sumber air di Sarikei, ia sering mengalami gangguan paip pecah yang menyebabkan bekalan air terhad. Oleh itu, sekarang ini sekurang-kurangnya ada pilihan lain iaitu bekalan air dari Sibu,” katanya.
Len Talif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berterima kasih kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Julaihi Narawi yang telah berusaha memastikan projek ini dilaksanakan kerana projek ini tergendala sementara dan telah disiapkan sepenuhnya pada September tahun lepas.
Loji Rawatan Air Tanjung Manis telah pun mula beroperasi pada 2 Oktober 2023 dengan kos RM974.1 juta.
“Mereka telah membuat perancangan sekiranya bekalan tambahan diperlukan pada masa akan datang, mereka akan meningkatkan kapasiti berkali ganda. Kita sudah membuat perancangan untuk kegunaan pada 20 ke 30 tahun akan datang,” katanya.
Tambahnya, kerajaan juga akan membekalkan sumber air mentah untuk kegunaan industri di kawasan tersebut.
Jumlah keseluruhan kos projek ini adalah merangkumi beberapa komponen utama iaitu pembinaan Muka Sauk Air yang mampu mengepam 50MLD Air Mentah di Sungai Sadit Sibu, pembinaan Stesen Pam Penggalak air mentah di Sungai Sadit, Sibu dan pemasangan saluran Paip Air Mentah mild steel berdiameter 1600mm sepanjang 74km dari Sibu ke Tanjung Manis.
Selain itu, pemasangan Paip Berkembar Submarin Mild Steel berdiameter 1100mm merentasi tujuh batang sungai, pembinaan Kolam Takungan Air Mentah berkapasiti 89 juta liter dan pembinaan Stesen Pam Penggalak di Tanjung Manis.
Komponen ini juga merangkumi pembinaan Loji Rawatan Air Tanjung Manis berkapasiti 30 juta liter sehari, pemasangan Saluran Paip Air Terawat Mild Steel berdiamater 1000mm sepanjang lapan kilometer dan pembinaan Stesen Pam Penggalak Sekumang di Tanjung Manis.-TVS