TANJUNG MANIS, 17 Feb: Sebanyak RM785,863,500 diperuntukkan untuk membina Jalan Tanjung Manis-Kedang-Paloh yang akan menghubungkan empat buah kampung di kawasan Parlimen Tanjung Manis.
Ahli Parlimen Tanjung Manis, Yusuf Abd Wahab menjelaskan peruntukan tersebut adalah daripada Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutaan menerusi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
“Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sebanyak RM518,863,500 manakala KKDW sebanyak RM267,000. Ini merupakan projek yang besar kerana ia menghubungkan empat buah kampung iaitu Kampung Paloh, Kedang, Berangan dan Stalun hingga ke Tanjung Manis.
“Jaraknya lebih kurang 26 kilomter meliputi jalan besar dan dua jambatan utama menghubungkan kampung tersebut yang kini tiada akses jalan darat. Ini merupakan satu projek yang besar dan berimpak tinggi,” katanya.
Mengulas mengenai garis masa perlaksanaan projek ini, Yusuf memaklumkan proses tender dijangka akan bermula hujung tahun ini atau awal tahun depan.
“Difahamkan, tahun ini meliputi kerja-kerja pembersihan tapak, tinjauan, kerja-kerja jajaran dan juga reka bentuk. Mudahan-mudahan ia dapat dilaksanakan dengan lancar,” ujarnya.
Tambahnya, beliau akan terus giat membawa suara rakyat di peringkat Parlimen dan berharap semua kemudahan yang disediakan dapat memberi manfaat kepada penduduk agar tidak ketinggalan menikmati kemudahan asas yang baik seperti elektrik, air, telekomunikasi dan jalan perhubungan.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan antara projek lain yang telah dan sudah dilaksanakan ialah bina baharu Dewan Serbaguna Kampung Sebayang berjumlah RM350,000, bina baharu Dewan Serbaguna Kampung Stalon berjumlah RM400,000.00 dan bina baharu Jeti Kampung Bukit Kinyau dengan kos RM 700,000.
Selain itu, bina baharu sistem perparitan Kampung Tepi Laut Belawai RM 500,000, naik taraf jalan menghubung rumah panjang kawasan Sare RM500,000 dan PPRMS baik pulih rumah RM1,498,798 serta bina baharu Klinik Kesihatan Jenis 6, Semop RM8 juta. – TVS