Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Abdullah Saidol berkata Projek Bekalan Air Tanjung Manis antara bukti keprihatinan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg terhadap masyarakat di luar bandar.

Abang Johari memahami keluhan penduduk luar bandar

TANJUNG MANIS, 17 Feb: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg seorang pemimpin yang mendengar dan memahami keluhan masyarakat di luar bandar tentang kemudahan awam.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata sebagai contoh, pelaksanaan Projek Bekalan Air Tanjung Manis yang memberi manfaat kepada penduduk di beberapa kampung.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merasmikan Projek Bekalan Air Tanjung Manis, hari ini. Foto Awang Azmil (TVS)

“Mewakili penduduk kawasan DUN Semop, kami bersyukur dan sangat menghargai tindakan segera kerajaan terutama Premier Abang Johari yang memahami keluhan masyarakat dalam kawasan saya terutama di Pulau Bruit tentang isu bekalan air bersih yang meresahkan mereka sejak sekian lama,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Perasmian Projek Bekalan Air Tanjung Manis yang disempurnakan Abang Johari di sini, hari ini.

Abdullah berkata, siapnya loji rawatan air bernilai RM974 juta ini juga akan turut memberi manfaat kepada masyarakat rumah panjang seperti di Mupong, Semaring dan rumah-rumah panjang sepanjang jalan antara Sibu dan Tanjung Manis.

“Kita harap projek tangki air aras tinggi di beberapa DUN Semop serta usaha menggantikan paip-paip lama akan berjalan lancar supaya keseluruhan penempatan kawasan pesisir termasuk rumah-rumah panjang akan mendapat bekalan air bersih serta kemudahan awam yang lain,” katanya.

Loji Rawatan Air Tanjung Manis telah pun mula beroperasi pada 2 Oktober 2023.

Sementara itu, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi berkata sistem bekalan air Tanjung Manis mampu membekalkan air mentah dari Sibu ke Tanjung Manis sehingga 50 juta liter sehari.

Sejumlah 30 juta liter sehari air mentah bertujuan untuk dirawat di Loji Rawatan Air Tanjung Manis dan seterusnya dibekalkan kepada penduduk di kawasan sekitarnya.

Baki 20 juta liter sehari lagi air mentah adalah untuk memenuhi keperluan kawasan industri di Tanjung Manis.

Menurutnya, antara kawasan yang mendapat manfaat daripada siapnya projek ini adalah pekan Tanjung Manis, Kampung Belawai, Jerijeh, Rajang, Serdeng, Sedau dan Bekakong.

“Selain itu, ia juga akan menambah baik sistem bekalan air di Pulau Bruit selepas siapnya projek ‘Proposed Water Supply to Pulau Bruit, Mukah Division’ yang dijangka siap pada suku kedua tahun ini.

“Antara komponen projek ini ialah pembinaan tangki aras tinggi di Semop, Saai, Penibong dan Penipah, pembinaan stesen pam penggalak Serdeng dan Saai serta pemasangan paip baharu di kawasan Serdeng, Semop, Saai dan sehingga ke Penibong dan Penipah,” ujarnya.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan